4 APRIL: 12 wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah dilantik oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam Jawatankuasa Permesyuaratan BERSATU-PAS di peringkat pusat yang akan diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.
Ketetapan itu hasil Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang diadakan semalam dan ia ditubuhkan bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, partinya itu juga komited akan terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.
Dalam masa sama, beliau menyatakan Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.
“MPT BERSATU turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutunya di seluruh negara.
“MPT BERSATU juga menegaskan bahawa parti tersebut mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Sehubungan itu, BERSATUu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang ndang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
“Bersatu turut beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar,” katanya.