4 APRIL: Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin meminta Pengarah Pilihan Raya (PRU) Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditukar segera kerana langsung tidak tahu mengemudi gerakan jentera PRU.
Beliau mendakwa, Tajuddin hanya memecah belahkan jentera di bahagian.
“Ketika Tajuddin ke Lembah Pantai dan Parlimen Tangga Batu, kenyataan-kenyataan beliau bukan ke arah strategi parti.
“Sebaliknya kenyataan beliau hanya banyak sembang kosong dan tidak membantu jentera parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhamad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai berkata, beliau mendapat banyak maklum balas negatif daripada rakyat berkenaan BN.
“Ya, ramai rindukan BN, tapi mereka tidak suka dengan perangai dan muka-muka pemimpin lama.
“Bukan pemimpin ini tidak berjasa, tetapi rakyat mahu BN menampilkan calon-calon baharu lebih wibawa demi kemenangan PRU Ke-15 (PRU-15),” katanya.
Pada masa sama, Muhamad Muqharabbin menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berani menampilkan muka-muka baharu pada pilihan raya itu nanti.
“Jika rakyat minta poster (calon) perdana menteri kita bukan muka presiden sendiri, saya yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi begitu berjiwa besar untuk memilih sesiapa sahaja demi UMNO dan rakyat.
“Saya percaya sekiranya Presiden berani melakukan hal ini, beliaulah akan menjadi punca kejayaan BN untuk PRU-15 dan akan diangkat sebagai wira sebenar UMNO sepanjang zaman,” katanya.