5 APRIL : Kelembapan ekonomi semasa merupakan antara faktor tawaran gaji rendah iaitu dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,500 diberikan kepada graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata terdapat majikan yang menawarkan kerja secara separuh masa kepada graduan yang masih tidak mendapat tempat dalam industri.
Namun, beliau menasihatkan graduan menerima sahaja tawaran gaji yang diberikan oleh majikan tersebut daripada terus menganggur kerana industri juga terkesan dengan pandemik COVID-19 .
“Kita tidak pernah ubah gaji minimum (RM1, 200) yang ditetapkan oleh kerajaan melalui Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265). Hanya Parlimen sahaja yang boleh beri kelonggaran tetapi dalam keadaan kini, ada majikan memberi tawaran pekerjaan kepada penganggur.
“Daripada menganggur, lebih baik sekiranya bekerja dengan mendapat gaji harian dalam tempoh masa tertentu atau secara separuh masa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Dan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) 2021 di Shah Alam, hari ini.
Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) adalah satu bentuk bantuan dana kewangan yang dibayar secara sekali beri kepada kesatuan sekerja berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Malaysia (JHEKS).
Sebanyak empat kategori geran telah ditawarkan kepada semua kesatuan sekerja iaitu Latihan, Komputer, Pembangunan Laman Sesawang dan Penerbitan.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JHEKS telah menerima sebanyak 210 permohonan GPKS 2021 dari kesatuan di seluruh negara yang diperuntukkan sebanyak RM1.1 juta dan setakat ini telah meluluskan sebanyak 128 permohonan terawal yang lengkap dan memenuhi syarat asas.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Saravanan memberitahu, JHEKS hanya meluluskan dana kepada 128 daripada 210 permohonan terawal yang lengkap di seluruh negara.
Menurut beliau, sejumlah RM314,500 dana GPKS disampaikan kepada 48 buah kesatuan sekerja di zon tengah.
“Dana tersebut digunakan sebaiknya demi pembangunan kesatuan dan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin serta mengambil langkah-langkah terbaik dalam pelan pemulihan negara,” katanya.