5 APRIL: Malaysia dan Brunei merancang mengadakan kerjasama berhubung diplomasi vaksin bagi menangani cabaran semasa COVID-19 secara bersama.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-23 Malaysia-Brunei, memaklumkan kerjasama itu akan menumpukan kepada pengaturan vaksinasi timbal balik bagi rakyat kedua-dua negara, membabitkan diplomat, pelajar dan ekspatriat.
Kenyataan itu memaklumkan, persetujuan turut dicapai dalam aspek bagi memastikan akses kepada bekalan vaksin bagi kedua-dua negara dan pengiktirafan bersama timbal balas sijil vaksinasi antara Malaysia dan Brunei kerana memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.
Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-23 Malaysia-Nrunei itu berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.
Muhyiddin diiringi isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei, mulai semalam sempena rundingan tahunan itu.
Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah bersetuju mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), dengan langkah pencegahan dan kawalan COVID-19 yang berkesan bagi memudahkan perjalanan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga dimaklumkan memberi penekanan mengenai kepentingan untuk mencergaskan kembali dan melindungi kestabilan sosio ekonomi Malaysia serta Brunei, termasuk masyarakatnya.
Menyentuh hubungan dua hala Malaysia dan Brunei, kedua-dua pemimpin itu mengulangi komitmen mereka untuk memelihara hubungan istimewa sedia ada dengan memperluas dan memperkukuh kolaborasi dalam pelbagai bidang yang saling memberi manfaat.
Selain itu, kedua-dua pemimpin itu menzahirkan penghargaan berhubung kerjasama antara kerajaan, terutama dalam mengatur penghantaran balik warganegara masing-masing yang terkandas di kedua-dua negara serta negara lain semasa pandemik terbabit.
“Perkara ini membuktikan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara dan rakyat mereka.
“Malaysia dan Brunei berhasrat untuk terus meningkatkan kerjasama ekonomi, termasuk membabitkan bidang pertanian, perikanan, pendidikan, hubungan, perdagangan dan pelancongan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan bahawa Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan perbincangan mengenai hubungan pertahanan erat, selain belia dan sukan serta meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam sektor pengangkutan.
Mereka turut mengulangi komitmen untuk melaksanakan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, termasuk multimedia serta keselamatan siber.
Berdasarkan kenyataan sama, kedua-dua pemimpin itu menyambut baik kemajuan dicapai dalam memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Info-Media-Komunikasi.
Justeru, berhubung MoU antara kedua-dua kerajaan berkaitan kerjasama dalam pengurusan bencana yang ditandatangani pada akhir rundingan, pemimpin Malaysia dan Brunei itu menyatakan usaha berkenaan akan memperkukuhkan hubungan dalam bidang terbabit.
“Ini terutamanya melalui latihan, latihan bersama, operasi dan pertukaran kepakaran serta maklumat berkaitan dengan pencegahan bencana dan pengurangan risiko.
“Perjanjian Penyatuan antara Petronas dengan Sekretariat Penyatuan Nasional Brunei (BNUS) yang ditandatangani hari ini juga, akan memberikan momentum positif kepada kerjasama minyak dan gas antara kedua-dua negara,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN