5 APRIL: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini bagi membincangkan aspek hubungan khas dua hala sedia ada di antara dua negara.
Muhyiddin tiba untuk menghadap Sultan Hassanal Bolkiah pada jam 11.10 pagi dan berakhir jam 12.25 tengah hari di Istana Cheradi Ratna Kenchana, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Perdana Menteri menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Cheradi Ratna Kenchana kira-kira jam 11.10 pagi dan berakhir sekitar jam 12.25 tengah hari.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan mengenai peningkatkan hubungan dagang dan kerjasama pasca COVID-19.
Perbincangan itu turut membabitkan mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), memulakan kerjasama dalam diplomasi vaksin antara kedua-dua negara dan mempromosikan kerjasama erat dalam bidang ekonomi, selain isu serantau serta antarabangsa.
Selesai perbincangan itu, Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah dijangka menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pengurusan bencana antara kedua-dua kerajaan, membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan perjanjian ‘unitisation’ di antara PETRONAS dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas.
MoU mengenai kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi pihak Malaysia dan Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Awang Erywan Mohd Yusof.
Bagi MoU berkaitan ‘unitisation’ itu pula, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pemangku Menteri Tenaga Brunei, Datuk Seri Paduka Awang Matsatejo Sokiaw akan menandatanganinya.
Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, kemudian akan diraikan pada Majlis Persantapan Rasmi di Istana Nurul Iman sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
Beliau mengadakan lawatan rasmi dua hari ke negara berkenaan bermula semalam sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 di Brunei.