5 APRIL : Kematian seorang guru wanita di Teluk Kemang di Port Dikson, Negeri Sembilan, bukannya disebabkan komplikasi selepas suntikan vaksin Covid-19 seperti tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, sejak Jumaat lalu telah tular dalam media sosial mengenai kematian guru wanita berusia 54 tahun namun berita tersebut tidak benar.
Aidi Sham berkata, guru tersebut telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada 30 Mac lalu tetapi siasatan mendapati kematiannya disebabkan faktor lain.
“Siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun yang lalu.
“Mangsa telah mengalami sawan semasa berada di rumah pada pukul 10.30 malam, Khamis lalu (1 April 2021), dan telah dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aidi Sham, mangsa kemudiannya telah menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Port Dickson lebih kurang pukul 12.20 tengah hari, Jumaat lalu.
Jelas beliau, polis dengan ini menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang penyebaran berita yang tidak benar atau sebarang kenyataan media sosial yang boleh mengelirukan awam.
“Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.