5 APRIL: Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah, menegaskan pucuk pimpinan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu ‘berkorban’ mengundurkan diri daripada memegang jawatan utama bagi memastikan parti terus relevan.
Beliau berkata, jika UMNO benar-benar mahu melakukan transformasi ke arah kebaikan demi memastikan kelansungannya dalam landskap politik tanah air, parti itu perlu membuang imej parti feudal ‘warlord’ dalam parti.
Katanya, kepimpinan UMNO sedia ada dilihat mempunyai liabiliti dan imej negatif kepada kelangsungan parti terbabit bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sebagai pemimpin parti, termasuk Presiden, sepatutnya mereka tahu ketika mana pengorbanan perlu dilakukan, lebih-lebih lagi dalam menentukan masa depan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Berundur setapak bukan bermakna kita akan hilang segalanya, tetapi sebenarnya tindakan ini bagi mendapat nikmat jauh lebih baik di depan sana,” katanya seperti dilaporkan kepada Sinar Harian, hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Zakaria itu merupakan desakan terbaharu kepada pucuk pimpinan UMNO, selepas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO, baru-baru ini.
Mohd Helmi dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyarankan beberapa Ahli Parlimen kabinet daripada UMNO meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.