6 APRIL: Arab Saudi hanya membenarkan penerima suntikan vaksin COVID-19 untuk menunaikan umrah pada Ramadan ini.
Menurut kenyataan Kementerian Haji dan Umrah, individu terbabit pula akan dipecahkan kepada tiga kategori penerima suntikan vaksin sebelum dibenarkan mengerjakan ibadah itu.
“Tiga kategori itu adalah individu penerima dua dos vaksin COVID-19, menerima dos pertama sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berangkat dan mereka yang pulih dari jangkitan,” kata kenyataan itu, semalam.
Kementerian itu bagaimanapun tidak memperincikan sampai bila syarat itu dilaksanakan atau adakah akan dilanjutkan sehingga musim haji tahun ini.
Sebelum ini, Arab Saudi membenarkan individu yang layak, termasuk belum mendapat suntikan vaksin menunaikan umrah dan bersolat di Masjidil Haram, namun syarat itu diperkenalkan berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di negara itu.
Syarat itu mungkin turut dikuatkuasakan di Masjid Nabawi.
Dasar itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi di Masjidil Haram sepanjang Ramadan kali ini.
Pengumuman itu dibuat selepas Raja Salman melakukan perubahan Kabinet, termasuk membabitkan portfolio Menteri Haji bulan lalu, kurang setahun selepas kerajaan itu membenarkan sejumlah kecil jemaah menunaikan ibadat terbabit Julai tahun lalu.
Setakat ini, angka jangkitan COVID-19 di Arab Saudi merekodkan lebih 393,000 kes dan 6,700 kematian.
Kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan, lebih lima juta dos vaksin COVID-19 diberikan kepada rakyatnya yang berpopulasi lebih 34 juta orang.
Sekitar 10,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji pada tahun 2019, berbanding 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia.
Pada tahun ini, Arab Saudi masih belum membuat keputusan berhubung jumlah sebenar jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji.