Guru, murid positif COVID-19, dua sekolah di Melaka ditutup
6 APRIL : Dua sekolah rendah di Melaka, Sekolah Kebangsaan Jeram dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak ditutup tiga hari ekoran warga sekolah dan murid dikesan positif COVID-19.
Menurut Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, Sekolah Kebangsaan Jeram merekodkan empat kes membabitkan guru dan kakitangan manakala Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak pula melibatkan tiga guru dan tiga murid.
Katanya dalam satu kenyataan, Sekolah Kebangsaan Jeram ditutup bermula semalam hingga esok manakala Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak pula bermula esok hingga Jumaat ini.
Penularan COVID-19 turut dikesan di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) melibatkan dua kes di bawah kluster sama dalam kalangan kakitangannya namun, institusi pendidikan berkenaan tidak ditutup, jelasnya lagi.
“Seramai 298 kontak rapat, sosial dan tempat kerja telah dikesan membabitkan Kluster Jalan Kenanga dengan 207 individu telah disaring dan 25 daripadanya positif COVID-19.
“Bagi Kluster Jalan Mata Kuching pula, seramai 67 kontak rapat telah disaring dengan 16 daripadanya positif pandemik berkenaan,”ujarnya.