6 APRIL: Seorang pengantin lelaki dan rombongannya tiba di rumah pengantin wanita lain gara-gara tersilap menggunakan navigasi, Google Maps.
Menurut laporan media Tribunnews, pengantin wanita di rumah itu yang dikenali sebagai Ulfa, 27, berkata pada awalnya dia tidak menyedari ketibaan pengantin lelaki dan rombongan terbabit kerana bersolek.
“Keluarga juga tidak kenal sangat ahli keluarga pengantin lelaki, justeru mereka fikirkan itu adalah rombongan yang betul dan mengalu-alukan kehadirannya, malah acara pertukaran hantaran juga diadakan.
“Bagaimanapun, salah seorang daripada rombongan itu secara tiba-tiba menyedari tersilap rumah pengantin lalu bergegas keluar dan mereka memohon maaf kerana dikatakan tersilap mengikut Google Maps,” katanya.
Sebelum rombongan terbabit menyedari kesalahan mereka, Ulfa sendiri terkejut dan bingung kerana tidak mengenali sesiapa daripada ahli rombongan berkenaan.
Katanya, malah ada saudara bertanyakan kepada rombongan itu siapa calon pengantin wanita dan ternyata bukan saya.
Rombongan itu, jelasnya, tiba dari Pemalang, tetapi pengantin lelaki sebenar yang juga tunangnya berasal Kendal.
“Akibat tersilap rumah, saudara saya membantu dan menghantarkan rombongan itu ke rumah pengantin wanita yang betul dengan jarak tidak jauh dari kampung ini.
“Kebetulan pada hari kejadian, dua majlis perkahwinan berlangsung di kawasan berhampiran dan boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Ulfa berkata, bakal suami dan rombongannya yang sebenar belum tiba kerana berhenti mencari tandas.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial rakaman video memaparkan suasana dipenuhi tawa daripada tetamu dan keluarga seorang pengantin wanita yang dilaporkan berlaku di Jawa, Indonesia gara-gara pengantin lelaki tersilap rumah.
Video dimuat naik di Instagram @makassar_iinfo itu tular sehingga ditonton lebih 218,000 tontonan.