6 APRIL: Kerjasama PAS bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah berlandaskan prinsip asas yang sama seperti dinyatakan parti itu dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, kerjasama bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Perikatan Nasional (PN) itu, bertujuan menyatukan ummah, selaras dengan apa diusahakan dalam MN.
“Hubungan PAS dengan BERSATU adalah seperti terzahir dalam prinsip asas MN, iaitu kerjasama ke arah membina penyatuan ummah yang dimulai penyatuan kalangan Melayu-Islam.
“Ini diikuti membina penyatuan ummah dalam kalangan bumiputra dan bukan Islam tidak ekstrem, selain seluruh rakyat Malaysia yang cintaikan perpaduan serta perdamaian,” katanya menerusi muat naik di Twitter, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyatan terbabit ketika hubungan di antara PAS dan UMNO dalam MN, dilihat terumbang-ambing.