6 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa terus mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan kedudukan terhadap mereka yang terbabit sindiket kartel tender dan projek kerajaan.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tegas perlu diambil segera dan secara berterusan.
“Kejayaan SPRM kali ini membuktikan bahawa usaha kerajaan memerangi rasuah tidak pernah berhenti.
“Pegawai SPRM wajar dipuji kerana menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membersihkan gejala rasuah dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.
Penahanan individu terbabit termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.
Wan Saiful turut mengucapkan tahniah kepada SPRM atas tindakan yang diambil untuk membanteras sindiket memonopoli projek kerajaan.
Katanya, rasuah dan salah guna kuasa adalah barah yang merosakkan tadbir urus negara.
“Sebagai parti yang ditubuhkan atas semangat memperjuangkan integriti dan memerangi rasuah, BERSATU akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang diambil oleh SPRM.
“Kita mesti bersihkan negara kita daripada label kleptokrasi dan rasuah yang pernah menghantui negara,” katanya.