6 APRIL: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM5, RM7 dan RM14 pada tahun ini mengikut kemampuan pembayar di kawasan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata berkata, kadar wajib RM5 itu ditetapkan untuk meringankan beban umat Islam kurang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan itu sewaktu pandemik Covid-19.
“Dua lagi kadar adalah RM7 dan RM14 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan serta mahu membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.
” Kadar ini telah dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan. Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil serta Amil Zakat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Zulkifli menambah kebiasaan MAIWP akan mengutip antara RM10 juta hingga RM15 juta zakat fitrah setahun untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan ke Mekah pada Jumaat depan bagi membincangkan secara lebih terperinci mengenai jumlah kuota haji dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah Malaysia.
“Saya juga akan meninjau pelbagai kemudahan dan persiapan Arab Saudi untuk menerima jemaah umrah termasuk dari Malaysia yang akan ke tanah suci pada Ramadan ini,” katanya.