6 APRIL: Kerajaan tetap akan melaksanakan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Semakan 1988) (Akta 355) bagi membolehkan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas individu terbabit dengan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, tindakan itu perlu diteruskan kerana budaya LGBT bukan hanya menjadi satu kesalahan dari segi syarak dan undang-undang Islam malah bertentang dengan fitrah manusia.
Beliau berkata, seperti mana kita tahu dari satu sudut budaya LGBT bukan hanya bertentangan dengan ajaran Islam, malah bertentangan fitrah manusia.
“Jadi kita tidak boleh mengiyakan dan menerima perbuatan seperti itu cuma kita kena kendalikan isu berkenaan dengan penuh hikmah, mengajak dan mendidik mereka (golongan LGBT) kembali ke pangkal jalan serta sama-sama membetulkannya.
“Selebihnya kita kena tengok dari aspek perundangan dan pandangan pakar (Peguam Negara) mengenai pindaan sebelum Akta 355 dibentangkan ke Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan ke arah mewujudkan kerharmonian, kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia, pada masa depan,” katanya ketika ditemui media di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Zulkifli berkata demikian ketika mengulas desakan bekas kumpulan penjawat kanan kerajaan dikenali sebagai ‘G25’ membantah cadangan kerajaan untuk meminda Kanun Keseksaan Islam bagi menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas LGBT.
Sementara itu, ditanya sama ada pindaan Akta 355 akan dibentangkan ke Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang, Zulkifli memberitahu perkara itu masih belum ditetapkan.
“Proses pindaan tidak mesti melalui beberapa proses, dia bukan semata-mata kita mesti bentangkan sekali gus atau terus tetapi kita akan menuju ke arah berkenaan.
“Kita juga melihat dari segi kemungkinan akan dibentangkan dan diluluskan terlebih dahulu ke Kabinet dan kalau tiada apa halangan dan suasana membenarkan kita akan bentang ke Parlimen tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli juga meminta pengasas kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sajat agar tampil mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya, baru-baru ini.
“Saya syorkan (Sajat) bertemu dengan pihak berkuasa terutamanya majlis agama begitu juga pejabat agama di Selangor.
“Bincang dengan baik apa yang menjadi masalah dan apa yang menjadi kekeliruan.
“Dengan cara ini, Insya-Allah saya harap perkara (masalah Sajat) ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Difahamkan, Sajat dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.
Usahawan kosmetik yang sering mencetuskan kontroversi itu dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Muhammad Sajjad mencetuskan kontroversi lagi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jais mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.