7 APRIL : Seramai 7,799 daripada 166,592 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu, masih menjalani kuarantin wajib.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 1,270 individu pula dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 157, 523 dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Sebelum itu, mereka ditempatkan di 73 hotel dan lapan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan harian laporan COVID-19, hari ini.
Mengenai barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 676 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan.
“Semua yang dipantau itu terdiri daripada 494 peruncit,151 pemborong dan 31 pengilang. KPDNHEP juga telah melakukan 2,142 pemeriksaan khas dan hasil pemeriksaan itu, semua premis didapati mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1176 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 11 daripada mereka disahkan positif COVID-19.
Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 676, 384 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 35, 007 majikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,162 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 666, 222 lagi adalah negatif dan hingga kini, sebanyak 1,544 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya.
Mengenai task force operasi pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 92 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 88 individu dikompaun manakala empat orang pula direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (43), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (21), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (21), tidak memakai pelitup muka (5) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (2) katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH