7 APRIL : Penganjuran bazar Ramadan Satok, Kuching dibatalkan ekoran penularan jangkitan COVID-19 masih lagi membimbangkan di kawasan tersebut.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dr Morshidi Ahmad berkata, sekiranya bazar Ramadan dibenarkan beroperasi, dibimbangi ia akan meningkat risiko jangkitan lantaran berlaku kontak rapat di kalangan orang awam.
Jelasnya, kebarangkalian untuk berlaku penularan COVID-19 amat tinggi di mana ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.
“Justeru, pihak DBKU sepakat membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan selepas mengambil kira keadaan semasa COVID-19 di Sarawak demi keselamatan semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, pihaknya turut membatalkan Bazar Ramadan di tempat letak kereta Pasar Basah Stutong.
Kata Wee, jika bazar Ramadan diteruskan juga, risiko penularan semula COVID-19 berlaku.
“Kami mengambil kira kepentingan awam demi membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.