7 APRIL: Polis Kedah akan mengenakan tindakan kompaun secara terus kepada rakyat negeri itu yang ditahan pulang ke kampung pada Ramadan ini tanpa kebenaran pihak berkuasa berkenaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata tindakan itu dikenakan kerana kedegilan dan sikap mereka yang tidak mengendahkan larangan dilaksanakan kerajaan.
Pada masa ini, katanya, polis negeri itu terus mengadakan pemeriksaan rapi dalam Sekatan Jalan Raya (SJR), terutama individu dari negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kita (polis) akan tetap periksa betul-betul, kena tunjuk kebenaran polis pada kita semasa SJR.
“Jika tidak ada (kebenaran), mereka akan diminta berhenti untuk soal siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu daripada Asisten Komisioner Polis, Mohd Ismail Ibrahim kepada Supritendan Rodzi Abu Hassan, hari ini.
Hasanuddin memaklumkan, kelonggaran dan kebenaran akan diberikan polis sekiranya berlaku kes kecemasan.
Bagaimanapun, katanya, polis akan melakukan penelitian bagi memastikan tiada pihak yang cuba menipu dengan menggunakan alasan sama.
“Kita juga akan terus mengetatkan kawalan rentas negeri bagi membendung penularan COVID-19, sekiranya diperlukan,” katanya.