7 APRIL: Kejayaan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia merangkul kejuaraan Seluruh England bulan lalu, terus menerima penghargaan apabila kerajaan Kedah menghadiahkan insentif RM25,000.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata insentif terbabit akan diserahkan kepada Zii Jia pada majlis meraikan pemain berusia 23 tahun itu, sebaik beliau pulang ke negeri jelapang padi berkenaan.
Katanya, ketika ini, Zii Jia terikat dengan jadual latihan padat sebagai persiapannya menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.
“Jadi kita tidak boleh ganggu jadual latihan beliau, cuma kita sediakan dulu RM25,000 dan apabila beliau balik ke Kedah, kita akan serahkan dalam satu majlis yang sudah dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.
Pemain menduduki ranking kelapan dunia kelahiran Alor Setar itu, muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen ketika perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, England pada 21 Mac lepas.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah juga, memberikan insentif RM10,000 kepada seorang daripada pemain beregu wanita negara yang berasal dari negeri itu, Pearly Tan selepas menjuarai kejohanan Terbuka Switzerland pada 7 Mac lepas.
Pearly dan pasangannya, M Thinaah menumpaskan pilihan ketiga kejohanan dan ranking Ke-14 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva serta Stefani Stoeva dengan markah 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit di gelanggang St Jakobshalle, Basel, Switzerland.
Kemenangan itu, sekali gus merekodkan kejuaraan pertama Pearly dan Thinaah dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300.