7 APRIL : Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin tidak menolak kemungkinan rakaman audio perbualan telefon antara individu yang dikaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim disebarkan menerusi ‘kem Anwar’.
Badrul Hisham yang juga dikenali Chegu Bard berkata gerakan ini mendatangkan keuntungan kepada PKR dan dapat meyakinkan kembali penyokong dan pembiaya parti itu yang dah mula letih serta bersabar di samping terus menyumbang.
“Terbaru tersebar rakaman suara yang dikatakan Anwar dan Zahid. Saya sangat yakin jika rakaman ini betul, ia dibocorkan oleh kem Anwar sendiri.
“Panggilan antara dua telefon tentu salah satu yang rakam. Rakaman ini saya tak sokong kerana jika benar ia jelas melanggar ruang peribadi. Kepada semua jangan terus percaya namun nilaikan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya terdapat perbualan antara beliau dan Anwar sebagaimana dalam audio rakaman yang tular di media sosial sejak malam tadi.
Malah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, tiada sebarang perbualan antara beliau dan Ketua Pembangkang tersebut selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Menurut beliau, ini merupakan satu percaturan politik jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.
Ditanya mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh Ahli Parlimen Bagan Datoh itu, Badrul menegaskan Ahmad Zahid perlu segera membuat laporan polis jika ini merupakan satu fitnah kepada dirinya.
Bukan itu sahaja, beliau menegaskan laporan berkenaan surat Ahmad Zahid yang menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri juga perlu dibuat laporan polis bagi meneliti kebenaran mengenai perkara itu walaupun penafian telah dilakukan oleh Ibu Pejabat UMNO.
“Kalau ia palsu sangat wajar zahid buat laporan polis. Seperti isu surat ke istana, penafian dangkal oleh pihak-pihak lain dan Zahid membisu.
“Zahid jangan membisu dan hanya kerah juak juaknya beri penafian dangkal sahaja. Saya menjangka Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika Zahid kekal begini, suara akar umbi Umno terus dibisukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH