7 APRIL: Kebenaran rakaman audio perbualan telefon di antara individu dikaitkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial sejak malam tadi perlu dilakukan siasatan terperinci oleh Lembaga Disiplin UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, beliau mengakui sudah mendengar rakaman audio berkenaan dan tidak pasti sama ada ia tulen atau diada-adakan bagi tujuan tidak baik.
Bagaimanapun, Zakaria menegaskan jika rakaman audio tular itu benar, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lebih tahu apa keputusan terbaik yang sepatutnya dilakukan mereka.
“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, tetapi perkara ini penting kepada masa hadapan perjuangan UMNO itu sendiri.
“Maka dengan itu, Lembaga Disiplin UMNO perlu menjalankan fungsinya untuk menyiasat kebenaran rakaman audio perbualan tular itu apatah lagi ia membabitkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
“Jika benar, parti (MKT) lebih tahu apa keputusan yang patut mereka buat,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas satu video dan audio mirip suara dua pemimpin itu yang tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri meminta Ahmad Zahid atau pejabat Presiden UMNO untuk membuat laporan polis dengan segera sebagai bukti penafian tuntas kaitan beliau dengan rakaman audio tular berkenaan.
Abdul Rahman mengharapkan menerusi laporan polis, rakaman audio itu akan diteliti pihak berkuasa dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti dalang yang cuba menjejaskan nama baik Presiden dan UMNO sendiri.
“Lagipun inti pati rakaman perbualan telefon itu adalah sangat signifikan dengan hala tuju UMNO pada masa hadapan, lebih-lebih lagi pada saat parti berdepan cabaran untuk menawan kembali hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya masih berpegang kepada keputusan diambil parti sewaktu PAU 2020 iaitu semua pemimpin UMNO berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu letak jawatan berdasarkan ketetapan yang bakal diambil MKT.
“Cuma, bila isu rakaman audio tular sebegini muncul, saya minta MKT perlu meneliti semula dasar parti sewaktu PAU 2020 iaitu ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’ agar ianya akan terus kekal menjadi pendirian UMNO sehingga satu ketetapan baharu dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid mengajak semua ahli UMNO bertenang dan tidak terus berasa gusar kerana isu penularan audio rakaman perbualan membabitkan presiden parti masih belum disahkan ketulenannya.
Tambah beliau, lebih baik ahli-ahli UMNO menerima penjelasan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid sendiri daripada terus bersikap curiga kepada pucuk kepimpinan parti kerana perbuatan tuduh-menuduh adalah tidak wajar.
“Zaman sekarang ini, macam-macam boleh jadi. Video seks mirip seorang menteri kanan pun sampai sekarang tidak selesai lagi, sedangkan imej beliau jelas kelihatan.
“Saya rasa apa patut Presiden UMNO buat adalah dengan memberi penjelasan apa sebenarnya berlaku (berhubung isu rakaman audio tular). Kena berterus-terang…Kalau tiada, cakap tiada.
“Tetapi, kalau betul ada, satu tindakan susulan termasuk hukuman disiplin perlu dilaksanakan kepada Presiden UMNO kerana beliau juga tidak boleh terlepas,” katanya.