7 APRIL : Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 pada tahun ini dan menggalakkan pembayar menunaikannya melalui atas talian.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata kadar tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut beliau, pembayaran atas talian boleh dibuat menerusi ezakat.muip.gov.my dan aplikasi PahangGo manakala bagi kaedah bayaran melalui amil di masjid serta lokasi setempat adalah dibenarkan namun perlu mematuhi Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 2 (PKPP) yang sedang berkuatkuasa, pihak MUIP juga menyediakan garis panduan kepada amil dan penunai zakat.
“Seramai 942 amil ditauliahkan ditempatkan di kaunter kutipan zakat dalam masjid dan tempat besesuaian bermula selepas Subuh sehingga sebelum Maghrib.
“Umat Islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang telah ditauliahkan, “katanya pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Pahang di Kompleks Islam Sultan haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Hairi menegaskan sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pada tahun lalu, sebanyak RM1,002,073 zakat dikutif melibatkan 6.1 juta pembayar dan daripada jumlah itu, seramai 688,587 orang membayar zakat secara atas talian dan 323,486 menunaikannya secara tunai.