7 APRIL: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) ke-10 yang diadakan secara maya, esok.
Menurut Kementerian Luar, pemimpin D-8 akan membincangkan dan memperhalusi perkembangan serta pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad lalu seterusnya merangka rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad seterusnya.
Katanya, kerjasama ekonomi di bawah Kumpulan D-8 membabitkan enam bidang keutamaan iaitu perdagangan, kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, pengangkutan, tenaga dan mineral serta pelancongan.
“Sidang kemuncak ini juga dijangka menjana idea dan inisiatif baharu bagi mencapai objektif dan aspirasi Kumpulan D-8.
“Penyertaan Malaysia ke sidang kemuncak ini secara langsung menzahirkan komitmen dan sokongan berterusan Malaysia terhadap inisiatif di bawah rangka kerjasama D-8,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dengan tema ‘Perkongsian untuk Dunia Transformatif: Memanfaatkan Kekuatan Belia dan Teknologi’, Bangladesh akan menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak D-8.
Tema ini adalah bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada selain meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital, dalam menangani cabaran ekonomi global, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Sidang kemuncak ini didahului dengan sesi mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-19 disertai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini.
Pada masa sama, menurut Kementerian Luar, pemimpin juga akan menerima pakai dua dokumen hasil iaitu Deklarasi Dhaka dan Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030.
Katanya, Deklarasi Dhaka akan memperkukuh komitmen negara anggota bagi menyempurnakan objektif dan kerjasama D-8 dalam merangka strategi masa hadapan.
“Manakala Pelan Hala Tuju D-8 bagi tempoh 2020 hingga 2030 akan menyediakan garis panduan bagi pemantauan dan penilaian ke atas pencapaian D-8 untuk 10 tahun,” katanya.