7 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) terutama jalan tikus di sempadan negeri- negeri bagi memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran.
“Kalau ada yang cuba merentas negeri, tiada lagi nasihat sebaliknya terus tindakan undang-undang terhadap mereka dan langkah itu diambil bagi memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan terutama untuk balik sambut puasa pada 13 April ini kerana sudah menjadi budaya orang kita nak sambut Ramadan bersama keluarga di kampung.
“Jadi bagi mengelakkan perkara tersebut, polis akan tambah SJR sekarang ini ada 35 (SJR) di seluruh negara dan ketatkan kawalan di SJR serta lorong tikus, saya juga telah pesan kepada anggota sudah cukup kita beri nasihat selama ini dan ambil tindakan. Sekarang ini jumlah kes COVID-19 sepatutnya berkurangan tetapi kini timbul kluster-kluster baharu ekoran pergerakan rentas negeri,” katanya kepada pemberita di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan kepada dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah membabitkan RM18.43 juta di Juru, pada 25 Februari lepas.
Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata PDRM masih menunggu baki 175 kereta peronda polis (MPV) model Honda Civic 1.8 yang sepatutnya diterima pada tahun lepas.
Katanya PDRM berharap kerajaan dapat menyegerakan proses penyerahan 175 kereta berkenaan kerana PDRM perlu menukar MPV yang lama dan tidak selamat sekiranya ia masih digunakan.
“Sepatutnya baki 175 lagi kereta itu daripada 425 MPV diterima tahun lepas dan PDRM juga berharap kerajaan akan menyegerakan pertukaran lebih 800 MPV lain yang sudah lama iaitu lebih lima tahun ditukarkan dengan jenis yang sama iaitu Honda Civic 1.8 kerana dapat beri keyakinan kepada rakyat ketika polis membuat rondaan,” katanya.
Katanya berhubung penggunaan kereta Proton X70 jenis pacuan dua roda hadapan iaitu Standard 2WD, pihaknya telah membuat pandu uji di Muar, Johor namun mendapati ia tidak sesuai untuk dijadikan MPV polis.
PDRM sebelum ini memaklumkan Proton X70 akan diguna dalam tugasan rondaan bagi menggantikan MPV lama model Proton Waja yang sudah melebihi had penggunaan.