7 APRIL: Putrajaya dan Perlis hari ini mencatatkan sifar kes baharu positif COVID-19 biarpun jumlah kes seluruh Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu adalah 1,139 kes termasuk empat kes kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatifnya menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 354,468 kes.
Beliau berkata daripada 1,139 kes positif baharu COVID-19 itu 1,126 adalah jangkitan tempatan dan 13 kes import termasuk tujuh rakyat tempatan dan enam bukan warganegara.
“Jumlah kes sembuh hari ini adalah 1,199 kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 339,067 kes atau 95.7 peratus.
“Jumlah kes COVID-19 masih aktif di Malaysia hari ini adalah 14,097 kes termasuk 194 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 86 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 332 kes (29.1 peratus).
Beliau berkata sebanyak 276 kes (83.1 peratus) adalah dari kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Katanya, ini diikuti oleh Selangor sebanyak 294 kes (25.8 peratus) dan Johor sebanyak 102 kes (9.0 peratus).
“Sebanyak 27 kes (2.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (19 kes), Kluster Tembok Tapah (4 kes), Kluster Tembok Sri Aman (3 kes), dan Kluster Tembok Choh Dua (1 kes).
“Terdapat empat kes kematian pada hari ini yang melibatkan dua (2) kes di Sarawak dan masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.
“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI