7 APRIL : Bendahari Pemuda MIC Kebangsaan, K. Kesavan membidas Presiden Advancement Party (MAP), Waytha Moorthy yang didakwanya cuba memutar belitkan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berhubung isu kuil di negara ini.
Kata Kesavan, memutar belit fakta serta provokasi seperti itu bukanlah sesuatu perkara baharu yang dilakukan oleh bekas menteri itu.
“Waytha mengutuk kenyataan Tan Sri Vigneswaran, kononnya MIC hendak membodohkan rakyat lagi. Siapa yang bodohkan siapa sebenarnya wahai bekas menteri?
“Anda juga satu ketika dahulu memperjuangkan isu-isu berkaitan kuil tetapi apabila anda berkuasa, anda diam pula ketika pelbagai isu berkaitan rumah ibadat masyarakat India di negara ini, apa jadi dengan insiden kuil Seafields? Lupakah kamu?
“Kami tidak lupa, rakyat tidak lupa. Cukuplah main politik seperti ini. Selepas hilang kuasa kamu hilangkan diri kini mahu kekal relevan jadi gunakan MIC sekali lagi? Untuk apa? Agenda politik yang sama guna satu ketika dulukah?” soalnya, hari ini.
Terdahulu, Vigneswaran membuat teguran terhadap segelintir masyarakat India yang bertindak membina kuil di tanah orang lain yang mengakibatkan ianya dirobohkan pada satu waktu.
Teguran itu kemudian digunakan oleh Waytha kononnya MIC tidak akan membela nasib kuil-kuil di Malaysia.
Dalam pada itu, Kesavan memberitahu, Vigneswaran secara jelas lagi memberi teguran supaya kuil-kuil yang baru dibina mengikut prosedur supaya insiden berkaitan perobohan kuil di tanah orang lain tidak akan berlaku.
“Ini bukan perkara baharu malah selama ini MIC yang lantang sekali. Ketika pembangkang seperti Waytha dalam Hindraf cakap besar namun apabila rakyat undi mereka akhirnya kena tipu juga.
“Saya ingin sekolahkan Waytha sebenarnya, biarlah saya betulkan kekhilafan anda. Tan Sri Presiden memberi komitmen beliau dengan menyatakan pendirian parti bahawasnya MIC akan tetap mempertahankan kuil-kuil di Malaysia, “katanya.