8 APRIL: Jabatan Penerangan kini berperanan sebagai pemudah cara untuk membantu rakyat, terutama golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) mendaftar bagi menerima suntikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pegawai jabatan itu yang berada di setiap daerah akan mendekati golongan terbabit di kawasan masing-masing, selain menerusi program berkaitan dianjurkan jabatan berkenaan.
“Kita sedang beri tumpuan untuk pendaftaran ini sebab masih ada warga emas dan OKU yang belum berdaftar.
“Mereka ini akan dibantu untuk pendaftaran sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau kita tolong daftarkan sebab mustahak untuk pastikan semua mendaftar dan mendapat vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sebelum menghadiri majlis menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis, hari ini.
Saifuddin berkata, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan antivaksin yang menyebarkan berita tidak benar mengenai keberkesanan imunisasi terbabit kerana vaksin itu disahkan selamat secara saintifik.
“Kita jangan dengar khabar angin dan berita palsu yang mengatakan tidak selamat mengambil vaksin ataupun vaksin ada yang haram sebab secara saintifik dah dibuktikan selamat dan fatwa sudah dikeluarkan, hukumnya harus.
“Sepatutnya kita kena galakkan orang mengambil vaksin, bila kita ambil vaksin, ini melindungi diri kita, kita membantu melindungi keluarga, jiran-jiran dan semua rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, katanya, sentiasa memantau penyebaran berita palsu mengenai vaksin COVID-19.
Malah, suruhanjaya itu, katanya, akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit, termasuk golongan menyebarkan dakwaan kononnya terdapat kes kematian disebabkan pengambilan vaksin itu di negara ini.