8 APRIL: Hubungan serta kerjasama antara UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) perlu terus diperkukuhkan kerana ia dibina dengan linangan air mata dan mengambil tempoh sehingga berpuluh tahun
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sr Md Alwi Che Ahmad berkata seharusnya semua pemimpin lebih bersikap terbuka dalam menjaga hubungan itu walaupun memahami keterujaan PAS yang baharu kali pertama berada dalam kerajaan.
“Saya faham PAS mahu pertahankan untuk duduk dalam kerajaan sebab ini kali pertama mereka masuk pilihan raya sebagai kerajaan, bukan pembangkang. Mereka juga tahu seksanya melawan kerajaan.
“UMNO pula, kalau betul apa yang dinyatakan sebelum ini, maka kita akan masuk sebagai pembangkang. Jadi, fikirlah sendiri. Saya tidak tahu yang mana pilihan rakyat.
“Cuma apa yang saya faham, rakyat bukan fikirkan PRU, sebab bagi mereka wakil rakyat semua sama. Mereka cuma mahu tahu apa yang mereka akan dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) U.n.i Klinik Bachok, Kota Bahru, Kelantan, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dari parti, Alwi menegaskan Zahid sebagai seorang pemimpin senior dan lama dalam bidang politik lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.
“Kita hadapi banyak dugaan, lagi banyak dugaan, lagi kuatlah kita. Tidak adil untuk saya suruh dia berhenti atau tidak berhenti. Dia pemimpin lama yang lalui pelbagai proses dan dia tahu apa dia patut buat.
“Kalau kita salah langkah, kita dikenali dalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang salah langkah. Pemimpin kena kurang bercakap, kena banyak buat kerja. Tanya sahabat, tanya kawan-kawan yang mana lebih baik untuk negara dan bangsa.
“Dia akan jumpa jawapan nanti sebab dalam Islam, pemimpin itu adalah pendidik, pemimpin sebagai contoh. Dia lebih mengetahui bila sepatutnya dia bertindak dan bergerak. Sejarah akan mengukir nama pemimpin itu sendiri. Dia nak ukir sejarah macam mana. Terpulang pada dia,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai agihan kerusi melibatkan UMNO dan Pas di negeri ini, Alwi yang juga ADUN Kok Lanas berkata seharusnya isu pembahagian kerusi tidak menyebabkan timbul pergaduhan antara PAS dan UMNO.
“Perkara tersebut tidak pernah dijanjikan semasa termeterainya hubungan antara dua parti itu, namun ia tetap boleh dibincangkan bagi memperkukuhkan masa depan bersama,” katanya.