8 APRIL : Perhubungan antara UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) yang telah berusia lebih setahun perlu kekal utuh yang jelas menggembirakan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan umat Islam.
Perkara itu dihasratkan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menerusi Facebook miliknya hari ini.
Ahmad Amzad memaklumkan beliau bersyukur dengan komitmen kedua-dua parti untuk memantapkan kerjasama dalam MN.
“Alhamdulillah, Mesyuarat Muafakat Nasional Pusat antara UMNO dan PAS malam tadi berlangsung dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memantapkan kerjasama.
“Permuafakatan ini menggembirakan rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.
Terdahulu, hubungan UMNO dan PAS menjadi tanda tanya susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu apabila memutuskan untuk menamatkan kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaik Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun, PAS tetap kekal dengan agenda penyatuan ummah dan masih berharap dapat menjadi jambatan hubungan antara UMNO dan BERSATU.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia itu memaklumkan PAS tetap dengan pendiriannya untuk kekal secara rasmi sebagai parti komponen PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH