8 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyiasat rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar, sekiranya terdapat laporan dibuat mengenainya.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia, belum menerima laporan berhubung perkara itu.
“Kita tunggu, kalau ada laporan dibuat, biasanya kes-kes seperti ini akan disiasat di bawah CyberSecurity, setakat saya tahu belum ada laporan dibuat kepada kami.
“Jadi, tidak semudah itu untuk mengambil tindakan kepada penyebar, kalau ada laporan kita akan siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sebelum majlis mengadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di Istana Arau, Perlis hari ini.
Sementara itu, berhubung kunjungan hormat beliau mengadap Raja Perlis, Saifuddin berkata antara topik dibincangkan kedua-dua pihak adalah berkaitan kesalinghubungan internet dan perkembangan ekonomi digital.
Katanya, beliau mendapat maklum Tuanku Raja Perlis memang sangat meminati soal kesalinghubungan, selain kemajuan Perlis dari segi ekonomi digital.
“Saya juga memohon titah nasihat daripada baginda mengenai perkara yang boleh ditambah baik di Perlis, terutama hal di bawah tanggungjawab KKMM dan agensi di bawahnya,” katanya.