8 APRIL: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan meringankan hukuman dihadapi seorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan sepanjang hayat kepada penjara seumur hidup.
Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Bilangan 1/2021, baru-baru ini.
Katanya, sebanyak sembilan rayuan dipersembahkan untuk pertimbangan baginda bagi mendapatkan pengampunan dalam persidangan tersebut.
“Setelah menimbangkan laporan dari Jabatan Penjara Malaysia, ulasan Peguam Negara dan pandangan dipersembahkan ahli-ahli Lembaga Pengampunan, Sultan Perak berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui seorang banduan sudah memberi pengajaran berguna kepada banduan terbabit untuk berubah serta berkelakuan baik.
“Baginda dengan itu menitahkan seorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan sepanjang hayat untuk diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup berkuat kuasa Selasa, 6 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Suaidi berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.
“Pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang diputuskan mahkamah akan hanya dipertimbangkan apabila seseorang banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal akan kesalahan dilakukan.
“Selain itu, bantuan berkenaan terbukti berkelakuan baik semasa berada dalam tahanan dan menunjukkan azam serta berikrar untuk memulakan penghidupan baharu, sebelum mendapatkan permohonan budi bicara baginda untuk dikurniakan keampunan,” katanya.