8 APRIL : Polis Gua Musang menahan 15 warga Myanmar kerana dipercayai cuba merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, Kelantan dengan membawa surat kebenaran palsu, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata semua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita ditahan polis ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) dengan menaiki bas ekspress di Kampung Tanah Putih, Gua Musang, kira-kira 3 petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan polis mendapati mereka memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh dan cuba merentas negeri dengan tujuan mahu kembali ke negara asal melalui Kelantan sebelum memasuki ke Thailand.
“Pemeriksaan dibuat terhadap 15 warga Myanmar itu mendapati dokumen perjalanan yang dikemukakan mereka sudah tamat tempoh, manakala permit rentas negeri mereka yang dikeluarkan pihak di Kuala Lumpur juga didapati palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, hari ini.
Choon Foo berkata, warga asing terbabit dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut, manakala bas ekspres bersama penumpang lain dibenar meneruskan perjalanan.
Katanya, 15 warga Myanmar merentas negeri membawa permit palsu melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang itu adalah kes pertama ditangkap setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 420 kanun keseksaan.