8 APRIL: “Saya akui kesalahan saya dan apabila saya dihubungi polis yang memaklumkan saya kena kompaun, memang saya kena bayar kompaun,” kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata demikian selepas terlupa memakai pelitup muka semasa melawat pusat penjaja di Matu, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Katanya, beliau menggunakan pelitup muka sebelum itu, tetapi menanggalnya ketika makan dan minum di gerai terbabit.
“Saya tergesa-gesa untuk pulang kerana sudah lewat, saya tidak sedar pelitup muka tidak digunakan semula.
“Pada masa itu, saya dibawa melawat gerai, banyak program.
“Saya beli barang, kemudian saya tiba di kafe di situ untuk minum dan makan, masa itulah saya buka pelitup muka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Pusaka di Kuching, Sarawak, hari ini.
Amar Awang Tengah berkata, pihak polis menghubunginya untuk memaklumkan mengenai kompaun dikenakan, justeru beliau mengakui kesilapan itu dan bersedia membayar jumlah terbabit.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan Amar Awang Tengah tidak menggunakan pelitup muka dan memberikan wang RM50 kepada penjaja sebagai bayaran kepada barang dibelinya.