9 APRIL: Seramai 14 ahli Geng Nicky yang ditahan berhubung kes jenayah terancang antarabangsa, tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.
Ketibaan suspek, termasuk lima wanita yang bergari di perkarangan mahkamah kira-kira jam 7.30 pagi bagi menghadapi pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dikawal ketat pihak polis.
Pada minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan ahli kumpulan Geng Nicky pada 20 sehingga 28 Mac lalu.
Katanya, Geng Nicky dilaporkan didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan beliau kini masih dalam buruan.
Abdul Hamid berkata, antara individu yang ditahan setakat ini ialah dua adik kepada Nicky Liow, masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk berusia 28 serta 30 tahun.
“Polis juga menahan Datuk Seri bersama lima Datuk setakat ini,” katanya.