9 APRIL: Pakatan Harapan (PH) memutuskan mengangkat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
PH dalam satu kenyataan berkata perkara itu antara tujuh ketetapan yang diputuskan dalam ‘Ketetapan Port Dickson’ selepas pemukiman pimpinan PH di Port Dickson yang berlangsung selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
PH juga memaklumkan selain diangkat sebagai calon Perdana Menteri, Anwar juga diputuskan akan mengetuai kempen PRU-15 gabungan parti pembangkang itu.
Mereka juga mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi yang dipelopori Anwar.
PH juga mengulangi desakan menuntut Perdana Menteri segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen, sekali gus menamatkan pengisytiharan darurat.
“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU-15 dan memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil.
“Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkait pendirian dan tawaran PH menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik dan krisis pandemik COVID-19,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Dalam pemukiman itu, PH turut mengiktiraf potensi dan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, selain akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk menangani isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH,” katanya.