9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor Bahru, Johor akan ditamatkan mengikut jadual, esok.
Lokap tahanan PATI itu adalah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bangunan Sultan Iskandar.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat di Lokap tahanan PATI Kompleks KDN Setia Tropika kerana sehingga kini, daripada 83 ujian saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 61 kes positif COVID-19 direkodkan.
“KKM mengesahkan tiada kes baharu dilaporkan dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 29 Mac 2021.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Lokap Tahanan PATI Kompleks KDN Setia Tropika, Johor Bahru pada 10 April 2021 seperti dijadualkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD di Lokap Tahanan PATI, JIM, Bangunan Sultan Iskandar pula dibuat susulan KKM melaksanakan 53 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 51 kes positif COVID-19 direkodkan.
Malah, katanya, KKM mengesahkan tiada kes baharu dilaporkan dengan kes terakhir direkodkan pada 28 Mac 2021.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Lokap Tahanan PATI, JIM, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada 10 April 2021 seperti dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPD di Kampung Gayang, Tuaran, Sabah selama 14 hari.
Katanya, KKM sudah menjalankan 38 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak lima kes positif COVID-19 direkodkan.
Menurut Ismail Sabri, keputusan itu dilakukan selepas KKM hari ini melaporkan situasi kes pandemik terbabit di lokaliti berkenaan apabila mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Gayang, Tuaran, Sabah bermula 10 April sehingga 23 April 2021 ini.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti, selain membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabrib berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPD di tiga lokaliti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk di Sandakan, Sabah selama dua minggu selepas KKM melaporkan situasi kes COVID-19 di situ.
Sehingga kini, katanya, KKM menjalankan 88 ujian saringan di ILP dan daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kes positif COVID-19 direkodkan.
Manakala, sembilan ujian saringan COVID-19 dijalankan di Taman Permata dan enam ujian saringan di Taman Seri Labuk, masing-masing merekodkan lima kes, justeru KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di ketiga-tiga lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di ILP, Taman Permata dan Taman Seri Labuk, Sandakan, Sabah bermula 10 April sehingga 23 April 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini membolehkan KKM melaksanakan ujian secara bersasar dan menyekat penularan kes di ketiga-tiga lokaliti berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 94 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 93 dikompaun, manakala seorang direman.
“Premis beroperasi lebih masa mencatatkan kesalahan paling tinggi, iaitu 44 individu, rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (17) serta tidak memakai pelitup muka (15).
“Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal sebanyak sembilan individu dan gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (6), manakala aktiviti pusat hiburan (3). – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN