9 APRIL : Laman sesawang pengesanan gangguan Downdetector.com menunjukkan aplikasi Facebook, Instagram dan Whatsapp mengalami masalah apabila lebih 112,000 pengguna Facebook, 101,000 pengguna di laman Instagram, dan 516 pengguna WhatsApp membuat laporan pada jam 6 pagi hari ini.
Reuters melaporkan, pada jam 6.10 pagi akaun Instagram rasmi telah memuat naik satu status di laman Twitter berhubung gangguan yang dialami oleh pengguna ketiga-tiga aplikasi tersebut.
Melalui status tersebut, Instagram mengakui ada sedikit gangguan pada aplikasi itu dan sedang berusaha untuk mengatasinya.
Kira-kira pukul 6.30 pagi, Instagram memuat naik satu lagi ciapan yang mengumumkan bahawa laman tersebut telah kembali pulih.
Namun setakat ini tiada sebarang kenyataan dibuat oleh laman Facebook.
Downdetector mengesan isu pemadaman termasuk beberapa gangguan yang dihantar pengguna di lamannya.