9 APR: Polis Selangor hari ini mendedahkan kegiatan Geng 24 Bukit Raja yang giat merekrut pelajar beberapa buah sekolah menengah di sekitar Lembah Klang sebagai ahli baharu kumpulan kongsi gelap terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, mendedahkan antara umpan yang digunakan untuk memancing atau menarik golongan muda terutama pelajar sekolah menengah untuk menyertai kumpulan Geng 24 Bukit Raja adalah diberikan perlindungan, pengaruh, kuasa dan kemewahan wang ringgit.
Berikutan itu, Arjunaidi berkata ramai golongan belia berusia awal 20-an telah menyertai kumpulan berkenaan selepas tamat persekolahan dan menjalani upacara tradisi gengster iaitu ‘sumpah darah’.
Malah, beliau berkata hasil siasatan polis mendapati jumlah keahlian gelap Geng 24 Bukit Raja dianggarkan mencapai hampir 100 ahli termasuklah remaja masih bersekolah (10 peratus), golongan belia berusia 20-an (60 peratus), 30 hingga 40 tahun (20 peratus), 40 hingga 50 tahun (10 peratus).
Antara sumber kewangan utama Geng 24 Bukit Raja adalah melalui pelbagai kegiatan jenayah dilakukan kumpulan terbabit termasuk pergaduhan atau merusuh yang sering disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK); mendatangan kecerderaan (Seksyen 326 KK); mendatangkan cedera dengan senjata (Sekyen 324), samun dan pemerasan serta melindungi pusat hiburan.
Arjunaidi mendedahkan kegiatan licik Geng 24 Bukit Raja terbabit terbongkar selepas polis menjalankan siasatan terhadap kes pergaduhan membabitkan lebih 40 ahli kongsi gelap dengan pegawal kesalamatan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam, Shah Alam, pada September tahun lalu.
“Kejadian terbabit berpunca daripada tindakan beberapa lelaki tempatan (ahli kumpulan Geng 24 Bukit Raja) datang bertemu pemilik pusat hiburan terbabit meminta sejumlah bayaran wang pelindungan bagi premis terbabit setiap bulan.
“Bagaimanapun, semasa perbincangan pemilik premis tidak bersetuju dengan pemintaan dikemukakan dan menyebabkan kumpulan kongsi gelap terbabit menyerang dan merosakkan premis serta memukul pekerja dan pelanggan yang ada di situ,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.
Berikutan itu, Arjunaidi berkata polis melancarkan satu operasi khas dikenali sebagai Ops PD, sebelum menahan 16 individu disyaki terbabit dengan insiden pergaduhan di pusat hiburan terbabit. Hasil siasatan awal dilakukan mendapati mereka adalah kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng 24 Bukit Raja.
“Malah sehingga kini polis sudah menangkap seramai 50 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja yang terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah di Lembah Klang.
“Daripada jumlah itu 19 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja terbabit termasuk ketuanya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah, 20 ditahan mengikut POCA dan 11 masih diremah polis,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI