9 APRIL: Kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam politik kini amat goyah susulan penularan audio perbualan telefon didakwa mirip suara antara Presiden UMNO itu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, audio itu menyebabkan ramai individu dalam UMNO tidak selesa, terutama terhadap kandungan perbualan berkenaan.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, katanya perlu segera bersidang dan membincangkan perkara itu, selain memberi mandat kepada ahli UMNO untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu dengan melaksanakan pemilihan parti secepat mungkin.
“Ramai individu dalam parti yang sangat tidak selesa dengan rakaman perbualan telefon didakwa antara Presiden UMNO dan Anwar.
“Saya berpandangan kedudukan Zahid sebagai Presiden UMNO kini bertambah goyah.
“MKT perlu bersidang segera dan membenarkan pemilihan parti diadakan, malah langkah terbaik untuk UMNO adalah mengadakan pemilihan parti sekarang,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kandungan audio itu menyentuh beberapa perkara mengenai UMNO, antaranya perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang membuatkan ramai individu dalam UMNO tidak selesa.