9 APRIL: Majlis sosial dan acara keramaian di rumah panjang menjadi punca utama kes baharu COVID-19 kembali meningkat di negara ini apabila mencatatkan sebanyak 1,854 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini menjadi 357,607 kes termasuk 341,489 kes atau 95.5 peratus sudah sembuh dan 14,805 kes masih aktif.
Dr Noor Hisham berkata daripada 1,854 kes baharu positif hari ini 20 adalah kes import dan baki 1,834 kes (1,618 warganegara dan 216 bukan warganegara) adalah kes jangkitan tempatan dengan 169 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya dengan pertambahan lima kes kematian terbaharu hari ini jumlah kumulatif kes maut akibat COVID-19 di Malaysia kini menjadi 1,313 kes atau 0.37 peratus.
“Pada hari ini, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 555 kes (29.9 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 417 kes (75.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Peningkatan kes di Sarawak adalah disebabkan oleh pertambahan kluster-kluster di kalangan komuniti termasuklah rumah panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah acara keramaian dan aktiviti-aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan, dan lain-lain acara keraian.
Malah, Dr Noor Hisham berkata pada hari ini sahaja, Sarawak melaporkan dua kluster komuniti yang baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan dan Kluster Disso.
Beliau berkata dua negeri lain dengan pelaporan kes harian baharu tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 403 kes (21.7 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 176 kes (9.5 peratus),” katanya.
“Sebanyak 58 kes (3.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (25 kes), Kluster Tembok Muhasabah (13 kes), Kluster Telok Mas (11 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (4 kes), Kluster Tembok Sri Aman (3 kes), Kluster Tembok Tapah (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes).
“Terdapat lima kes kematian pada hari ini yang melibatkan tiga kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak tiga kes melibatkan warganegara dan dua kes bukan warganegara,” katanya.