10 APRIL: Jumlah kes baharu COVID-19 di seluruh negara, kembali menunjukkan penurunan apabila 1,510 kes direkodkan, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik terbabit adalah sebanyak 359,117 kes.
“Selangor menjadi negeri yang menunjukkan pertambahan kes tertinggi, iaitu 415 kes, diikuti Sarawak (296) dan Kelantan (171).
“Sabah pula mencatatkan pertambahan sebanyak 131 kes, manakala Kuala Lumpur (106) dan Pulau Pinang (101),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Johor mencatatkan 80 kes baharu, Kedah (59), Perak (46), Terengganu (44), Negeri Sembilan (28), Pahang (13) dan Putrajaya (10).
“Hanya tiga negeri menunjukkan pertambahan kes satu angka, iaitu Melaka dengan enam kes dan masing-masing dua kes di Perlis dan Labuan,” katanya.