10 APRIL: Anak Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Ahli Perbadanan SME Corp berkuat kuasa serta-merta.
Perkara berkenaan diumumkan anak sulung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu menerusi akaun Instagramnya, semalam.
Beliau turut memaparkan di media sosial itu surat peletakan jawatan bertarikh 6 April dikemukakannya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Jawatan yang dilantik saya sukarela lepaskan.
“Jawatan yang dipilih atas pemilihan yang sah wajib dipertahankan.
“Soalan saya, siapa yang tidak ada ‘telor’ sekarang?” tulisnya pada kapsyen hantaran itu.
Nurulhidayah berkata, kapsyen yang ditulisnya itu tidak ada kena mengena dengan penampilan berpurdahnya.
Tanpa memberi sebarang alasan berhubung keputusannya dalam surat peletakan jawatan itu, beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada SME Corp kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat.
Bagaimanapun, kata-kata itu dipercayai ditujukan kepada pihak-pihak tertentu yang mendesak bapanya melepaskan jawatan sebagai pemimpin nombor satu UMNO, akibat pendedahan audio perbualan mirip suara antara Ahmad Zahid dan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Mengakhiri kapsyennya, beliau memanjatkan doa supaya urusannya dipermudahkan bagi membantu golongan memerlukan.
”Ya Allah, jika bukan tempatku di SME CORP untuk membantu orang ramai, berikan aku jalan dan kecukupan untuk aku membantu mereka yang susah dan memerlukan.
“Bantu aku ya Allah agar aku mampu membantu lebih ramai orang yang memerlukan. Aaminn yaa Rabb,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN