10 APRIL: Majikan di negara ini disaran memberikan cuti kepada pekerja mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata pemberian cuti itu dapat menambahkan keyakinan rakyat untuk mendapatkan vaksinasi kerana masih terdapat segelintirnya risau untuk menerima imunisasi berkenaan.
“Bagaimanapun, pemberian cuti kepada pekerja ini bergantung kepada majikan dan kerajaan tidak dapat memberikan cuti khas kerana bukan semua orang mengambil vaksin pada hari sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Functional Adaptive Clothing di Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, baru-baru ini berkata, beberapa syor akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersama KSM, antaranya menyaran atau mewajibkan majikan memberi cuti kepada pekerja untuk mendapatkan vaksin.