10 APRIL: Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganggap peranan media penting dalam membantu menyalurkan maklumat tepat mengenai inisiatif dan projek dirancang kerajaan untuk rakyat.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Seri Mohd Sallehhudin Hassan, berkata, atas kepentingan itu, media diharap terus memperhebatkan kerjasama dengan kerajaan bagi ‘mempromosikan’ pelaksanaan berkenaan.
“JPM menganggap media adalah rakan strategik dan mempunyai fungsi penting dalam membantu menyebar luas pelbagai inisiatif sedang atau akan dilaksanakan kerajaan.
“Justeru, keakraban terjalin akan membantu dalam penyampaian maklumat sahih dan benar.
“Saya mengharapkan JPM dan media akan terus memperhebatkan kerjasama dan saling berinteraksi dalam menambah nilai maklumat disalurkan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jabatan Perdana Menteri Bersama Media Di Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.
Pada program itu, Mohd Sallehhudin turut memaklumkan JPM akan melaksanakan jelajah program bersama rakyat ke beberapa lokasi di Sabah seperti Ranau, Tawau (Maliau Basin), Kalabakan, Keningau dan Nabawan.