10 APRIL: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil pihak polis bagi dirakam keterangan berhubung isu audio mirip suara mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihak polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu.
“Produser operasi standard (SOP) tindakan yang kita akan ambil berdasarkan sesebuah kes adalah pegawai penyiasat akan panggil individu terlibat untuk merakam keterangan, itu proses siasatan.
“Ahmad Zahid dan Anwar boleh tampil membuat aduan jika merasakan diri teraniaya, supaya polis dapat menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri di Klang, hari ini.
Satu audio rakaman perbualan yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Dalam perbualan menerusi audio bertajuk ‘Konspirasi Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim terdedah’ itu, kedengaran suara mirip dua pemimpin terbabit berbincang mengenai ucapan dan keputusan dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, baru-baru ini.
Mereka turut membincangkan mengenai isu peletakan jawatan Menteri UMNO daripada kabinet.
Ahmad Zahid dan Anwar menafikan mengenai perbualan itu, selain menyifatkannya sebagai percaturan politik jahat serta jijik pihak tertentu secara berterusan untuk melemahkan parti mereka.
Kedua-dua pemimpin itu juga memaklumkan akan membuat laporan polis bagi membolehkan siatan dilakukan untuk mengenalpasti dalang di sebaliknya, namun sehingga kini tidak berbuat demikian.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, anggota dan pegawai polis yang ‘terbabas’ melakukan kesilapan atau tidak berintegriti, disarankan kembali insaf serta terus memperkasakan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, mereka yang ketika ini hilang integriti sebagai anggota PDRM diharap kembali ke pangkal jalan.
“Saya rayu dan nasihatkan mereka yang sudah terbabas, kembali ke pangkal jalan dan bersama meletakkan pasukan kembali ke tempatnya.
“Saya sedar selama ini ramai yang mengeluh mengenai soal integriti polis, namun saya dapati terdapat peningkatan, malah banyak saya terima reaksi positif dari masyarakat,” katanya.