10 APRIL: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Shah Alam (HSA), hari ini.
Selangor Royal Office dalam kenyataannya, memaklumkan suntikan dos kedua itu dibuat selepas 21 hari baginda berdua menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan, iaitu pada 20 Mac lalu.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut menerima suntikan dos kedua di hospital sama.
“Baginda berkenan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 ini selepas dimaklumkan bahawa hampir kesemua petugas barisan hadapan di Selangor sudah mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.
“Baginda turut menyeru sekalian rakyat jelata di semua peringkat umur supaya tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi kesejahteraan dan kesihatan bersama.
“Baginda juga menggesa rakyat agar segera melakukan pendaftaran di aplikasi My Sejahtera dan bersabar menanti giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.