10 APRIL: Penularan senarai nama pemimpin UMNO yang kononnya bakal mengemudi parti itu sebagai kepimpinan baharu, disifatkan sebagai tidak benar.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu adalah strategi pihak tertentu yang cuba mereka cerita.
“UMNO 3.0?. Tak habis habis dengan taktik mereka-reka cerita. Langsung tak takut dosa. UMNO tidak ada siri. Tiada 1.0, 2.0 atau 3.0.
“Yang pasti ada ialah ‘No Anwar, No DAP,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Annuar berkata, pihak terbabit jangan cuba mengalihkan pemikiran ahli kerana apa dimahukan UMNO adalah kebebasan daripada mereka yang mahu memperalatkan parti parti untuk diri sendiri.
Katanya, UMNO juga hanya mahukan kepastian mereka yang membohongi ahli parti.
Pada masa sama, katanya, UMNO cuma tidak mahu keputusan keputusan parti dinodai kepimpinan sendiri.
“UMNO tidak mahu kerana individu, parti makin dibenci dan Pilihan Raya Umum (PRU) kita kalah lagi. UMNO parti yang kuat, tetapi tindakan pemimpin yang menyebabkan kita ditolak rakyat.
“Pemimpin boleh datang dan pergi berkali-kali, UMNO harus kekal memerintah negeri, insya Allah,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO.
Sejak semalam, tular di media sosial berhubung kewujudan kepimpinan baharu parti dikenali UMNO 3.0 yang dikaitkan sebagai rancangan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada politik menjelang Ogos ini.
Menurut dakwaan sumber, UMNO 3.0 akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS, malah gesaan supaya Ahmad Zahid berundur dijangka menjadi lebih lantang dalam sedikit masa, terutama dalam kalangan Menteri UMNO.
Dakwaan itu turut mengatakan, UMNO 3.0 bakal menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU Ke-15 (PRU-15) dan akan ‘turun padang’ untuk memenangi hati penyokong tegar di luar bandar sebagai parti Melayu terbesar di negara ini.
Berdasarkan senarai pemimpin UMNO 3.0 yang tular hari ini, Ketua UMNO Bahagian Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dinamakan sebagai Presiden dan Annuar diletakkan sebagai Timbalan Presiden.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diseranaikan sebagai Naib Presiden 1, manakala Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, masing-masing dinamakan sebagai Naib Presiden 2 Serta Naib Presiden 3.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dinamakan sebagai Setiausaha Agung; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Bendahari); Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan (Ketua Pemuda); Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Ketua Wanita) dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Ketua Penerangan). – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN