11 APRIL : Seramai 385,251 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam, demikian menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurut beliau, dalam tempoh yang sama, seramai 571,472 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 956,723.
Dr Adham berkongsi satu infografik di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,612, diikuti Sarawak (59,531), Sabah (54,058), Perak (52,677) dan Kuala Lumpur (52,110).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 52,133 individu diikuti Perak (41,348), Sabah (41,029), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,639).
Kata Dr Adham lagi, bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,443,581 atau 34.80 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,263,133.
Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan