11 APRIL : Keputusan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan seperti yang dijadualkan atau ditangguh akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada bulan Ramadan ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sama ada pemilihan berlangsung atau tidak, bergantung kepada keputusan MKT.
“Dalam perlembagaan UMNO, MKT berhak menentukan sama ada pemilihan itu diteruskan atau ditangguhkan 18 bulan.
“Jika ingin diteruskan, ia kena bermula pada 10 Jun,” katanya dalam sesi wawancara Terus Terang yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahi kebiasaannya, penangguhan pemilihan itu dibuat sekiranya pada tahun berkenaan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU).
“Jadi ada orang bertanya tahun ini tahun pilihan raya ke? Pada saya, secara peribadi tahun ini pilihan raya.
“Saya berpegang apa yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kira-kira 80 orang ahli Parlimen pada Disember tahun lalu untuk mengadakan PRU pada tahun ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumman perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri sehari selepas Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga.
“Pada saya, Perdana Menteri tidak berbohong lebih-lebih lagi dia bercakap kepada lebih 80 orang ahli Parlimen UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong bajet,” katanya.