11 APRIL : Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan tidak mengetahui jika rundingan kerusi antara UMNO dengan PAS telah ditangguhkan ketika ini.
Mohamad berkata rundingan tersebut setakat ini masih berlangsung di bawah Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) yang dilaksanakan setiap dua minggu sekali.
Justeru itu, Mohamad menjelaskan UMNO akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PAS berhubung perkara berkenaan, ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang akan datang.
“Saya cuma baca dalam media juga, tetapi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN baru-baru ini, UMNO menyatakan rundingan kerusia UMNO dan PAS masih diteruskan.
“Bahkan kita setuju antara formula yang digunakan kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti masing-masing.
“Formula kedua kita setuju parti mana yang dapat undi terbanyak, kerusi berkenaan akan diberikan kepada parti berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bangkit 15 di Melaka, hari ini.
Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeatakan pihaknya telah menghantar wakil untuk berunding dengan Bersatu mengenai pembahagian kerusi, dan perbincangan dengan UMNO ditangguhkan buat seketika, kerana parti itu kini berdepan kemelut dalaman.
Sementara itu, ditanya berkenaan hubungan UMNO dan Pas ketika ini, beliau berkata hubungan antara kedua-dua parti itu masih baik sekali.
Mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu UMNO mengadakan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun ini beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa terutama ketika pandemik COVID-19 masih lagi
mencatatkan kes yang tinggi.
“Dalam keadaan sekarang kita tengok (kes harian) COVID-19, kerana dalam pemilihan ahli wajib hadir, tapi ketika ini ada kesulitan dalam keadaan COVID-19 masih belum reda. Kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).
“Macam di UMNO bahagian Rembau ada 1,100 perwakilan. Kena cari dewan yang boleh muatkan 3,000 orang untuk patuh kepada SOP.
“Kita tak boleh bawa 20 peratus sahaja yang hadir, nanti mesyuarat tak sah. Itu kekangan-kekangan yang kami sedang teliti,” katanya.