11 APRIL : Kerajaan bersetuju Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hulu Besut, Terengganu akan diperluaskan kepada dua lagi lokaliti iaitu Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak, Mukim Hulu Besut, Daerah Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat, 20 April 2021.
Menurut beliau, sehingga semalam, sebanyak 61 kes positif COVID-19 telah direkodkan
hasil saringan kontak rapat di lokaliti ini.
“Walaubagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan
terdapat keperluan kawasan PKPD ini diperluaskan ke dua lokaliti yang bersebelahan iaitu Kg. Pak Sik dan FELCRA Keruak.
“Hal ini berikutan daripada pergerakan kes positif COVID-19 di kedua-dua kampung ini bagi aktiviti keramaian dan perkumpulan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak bermula esok sehingga 20 April 2021,” katanya menerusi kenyataan laporan harian perkembangan COVID-19, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan seterusnya mengawal penularan jangkitan COVID-19.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu kerajaan turut memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula tengah malam ini.
“Sehingga kini, 32 kes positif COVID- 19 telah direkodkan hasil saringan ke atas 64 orang penduduk di lokaliti tersebut.
“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 12 April sehingga 25 April 2021 bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan COVID-19 dengan cepat dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat esok akan lanjutkan dua minggu lagi.
Menteri Kanan Pertanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam tempoh itu, KKM telah melaksanakan 3572 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 891 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta ramai tahanan yang ditempatkan di PKRC belum sembuh sepenuhnya,” katanya.
Susulan itu, katanya atas nasihat KKM kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di lokaliti terbabit bermula 13 April sehingga 26 April ini